PENGERTIAN
Amalan yang diredhai oleh Allah yang merangkumi dua elemen iaitu selari dengan syariat Islam dengan usaha mendapat keredhaan daripada Allah serta mentaatiNya. Tanpa dua elemen ini atau salah satu daripadanya amalan yang kita lakukan tidak akan mendapat keberkatan dan pahala.
Firman Allah yang bermaksud:
Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal soleh, dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (al-Kahfi: 110)
Ayat di atas menggalakkan kita sentiasa berkeyakinan dengan agama dan menumpahkan harapan menggunung kepada Allah S.W.T dengan harapan mendapat keberkatan dan keredhaanNya yang berpanjangan di saat hidup masih berbaki. Mencari bekalan tanpa henti untuk dipersembahkan kepada Allah di akhirat nanti, serta berterusan mengerjakan amalan yang terbaik terhadap makhluk lain dan juga terhadap penciptanya.
Doa dipanjatkan dengan penuh pengharapan, memohon setiap amalan seharian kita mendapat markah (pahala) yang tinggi. Sentiasa jauhkan amalan yang sia-sia (lagha) yang langsung tidak memberi manfaat kepada kehidupan semasa atau setelah meninggalkan dunia. Jauhkan dalam kamus hidup kita dengan ungkapan mati katak. Kerana kematian seumpama itu sangat merugikan, andai hidup 100 tahun, tetapi 100 tahun yang merugikan tanpa memperolehi apa-apa ganjaran sebagai bekal di akhirat nanti.
Berapa ramai orang kita yang pandai berkata-kata tetapi tin kosong semata-mata. Ini sangat rugi dan tidak berbaloi. Apa salahnya beramal biarlah sedikit tapi berkualiti! Berbanding tin kosong. Saya terlalu gusar dengan unit pahala saya. Adakah nilai pahala yang saya ada laku di akhirat nanti. Jika kita luangkan sedikit masa memikirkan berapa banyak amal soleh yang kita lakukan untuk satu hari. Adakah pahala mengatasi dosa atau sebaliknya? Inilah yang kita sangat takuti. Sama-sama kita fikirkannya, insyaallah sedikit kita memikirkan akhirat biarlah melembutkan hati kita semua.
Carilah redha Allah walau di mana kita berada, baik kita berjawatan mahupun petani biasa. Kerana nilaian Allah tidak kepada harta dan rupa paras, tetapi yang terpenting ialah hati kita yang bersih dan sentiasa beramal soleh. Itulah cagaran yang kita ada, harap harta jauh sekali, harap rupa tidak seberapa cuma hati dan iman sahaja yang kita ada. Alangkah baiknya jika iman dan hati tadi digilap dan dilatih menjadi hamba abdi kepada Ilahi. Berdisiplinlah dan jadilah manusia yang digolongkan dalam golongan manusia yang soleh dan solehah. Insyaallah.






